Wednesday, June 17, 2009

Tok Guru Nik Aziz minta Ustaz Nasha lepaskan jawatan jika teruskan agenda Kerajaan Perpaduan



Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Anggota Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.
“Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas pakatan pembangkang.
“Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh “boneka Umno” untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang.
Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata beliau mengamalkan sikap terbuka dan sedia mendengar serta menimbang apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh PAS.
Sebagai reaksi, Nasharuddin berkata PAS berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan kerana parti itu melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.
Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS di Kelantan telah menerimanya sebagai calon untuk bertanding di Bachok pada pilihan raya umum 2008.

No comments:

Post a Comment