Friday, May 3, 2013

Selangor umum 6 Mei cuti umum




Selangor umum 6 Mei cuti umum
7:28PM Mei 3 2013

Kerajaan Selangor mengumumkan hari Isnin 6 Mei sebagai hari pelepasan am bagi memudahkan semua rakyat Selangor mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan pada hari Ahad ini. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia bagi memudahkan rakyat Selangor melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi dan merealisasikan Negeri Selangor sebagai Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan. "Pemberian hari pelepasan am ini selaras dengan Akta Hari Pelepasan 1951, perenggan 9 yang menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan satu hari sebagai hari pelepasan am," katanya dalam satu kenyataan. Katanya, kerajaan Selangor berharap hari pelepasan Am ini digunakan sebaik mungkin untuk pulang mengundi di tempat masing-masing dan tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali bekerja. "Kita mendoakan para pengundi dan rakyat Selangor pulang dengan selamat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. "Kerajaan Selangor terus komited untuk memastikan sebuah pentadbiran yang telus, bertanggungjawab serta bersih diteruskan di negeri ini dengan sokongan padu rakyat Selangor. "Undi anda semua akan menentukan nasib generasi akan datang. Undilah dengan bijak," kata Abdul Khalid.



http://www.malaysiakini.com/news/228996

No comments:

Post a Comment