Friday, September 4, 2009

Umno perlu bersedia sebagai pembangkang




Tidak syak lagi, dengan tujuh kemenangan berturut-turut diraih oleh calon Pakatan Rakyat, termasuk yang terkini dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir baru-baru ini, sudah sampai masanya Umno/BN berfikir untuk menjadi pembangkang. Memang kenyataan ini sukar ditelannya, lebih-lebih lagi setelah lebih 50 tahun berkuasa.

Namun betapapun sukar ditelan, Umno yang menjadi tonggak BN selama ini, terpaksa menerima hakikat ini justru kerana semua isyarat yang ada sekarang tidak memperlihatkan bahawa parti berasaskan perkauman itu tidak mempunyai masa depan di tengah-tengah perubahan pemikiran masyarakat.

Keputusan terbaru di Permatang Pasir di mana calon PAS, Ustaz Salleh Man menang mengalahkan calon BN, Rohaizat Othman dengan majority 4551 undi dan sebelum ini kekalahan Umno/BN di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan Penanti, adalah isyarat jelas yang wajar disedari oleh Umno/BN bahawa komponen itu tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

Setiap ketika, tanpa seharipun berhenti, pemimpin Umno dan penyokongnya tidak hernti-hentinya meniupkan semangat perkauman, lebih-lebih lagi dalam setiap kempen pilihan raya, termasuklah pada kempen di Permatang Pasir baru-baru ini di mana isu perkauman ditiupkan dengan kencang dan beraninya, disemarakkan lagi oleh media tradisional yang mereka miliki.

Namun keputusan di Permatang Pauh ini, seperti juga keputusan dalam pilihan raya kecil ditempat lain menunjukkan bahawa rakyat telah menolak:

+ Isu perkauman

+ Isu pembangunan yang menjadi ‘Isu Keramat’ Umno/BN hingga mereka berjanji hendak menjadikan Permatang Pasir ‘Anak Emas’, sementara di Dun Manek Urai dulu juga hendak dijadikan Dun itu ‘Anak Angkat. Di mana-manapun itulah modal mereka. Sedangkan menyediakan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan, siapapun yang menjadi kerajaan.

+ Pengundi menolak taburan pelbagai pemberian segera ketika kempen yang menjadi satu trend yang sama sekali tidak baik, melanggar peraturan dan etika moral.

+ Pengundi juga menolak propaganda dari media tradisional Umno/BN di mana tidak henti-hentinya melancarkan serangan peribadi yang amat jahat kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat, hingga tidak sanggup didengar dan dibaca oleh mereka yang waras. Untuk ini kita bertanya, di mana kewarasan mereka ini, di mana mereka meletakkan persoalan dosa dan pahala dan rasa kemanusiaan. Kermpen seperti ini sangat ganas dan kelihatannya sama sekali tidak terkawal.

Ketika berucap dalam kempen tersebut, dengan suara yang tenang dan teratur, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata: “Mari kta berhujah secara rasional mengenai pelbagai isu, mari kita berdebat mengenai soal moral dan etika, mengenai falsafah keadilan dan demokrasi, mari kita berhujah mengenai masa depan negara, mengenai rasuah, penyelewengan dan ketidak adilan, mari kita berdebat mengenai agenda negara dan saya bersedia menerima dan berhujah dengan mereka di mana-mana dan bila-bila masapun. Pendapat saya dan pendapat mereka boleh saja diterima dan ditolak.”

Namun Anwar amat kesal dan kecewa dengan serangan berterusan pemimpin Umno/BN kepadanya dan Tuan Guru. “Mereka kata, saya pengkhianat bangsa dan negara. Bila saya mengkhianati bangsa Melayu dan negara? Siapa yang memberikan kemudahan kepada kegiatan perjudian, sedangkan membiarkan rakyat miskin lapar tanah begitu saja. Siapa yang memonopoli ribuan AP yang kemudian diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai saja. Siapa yang mengumpul harta kekayaan melamau untuk keluarga sendiri, membiarkan rakyat miskin. Banyak lagi yang mereka lakukan tetapi didiamkan begitu saja.”

Kata Anwar, mereka menghina Tuan Guru Nik Nik Abd Aziz dengan begitu dahsyat sekali. Padahal Menteri Besra itu, katanya, hidup amat sederhana di rumah kampung. Pada ketika yang sama pemimpin Umno/BN hidup bermewah-mewah, mendiami rumah yang bagaikan istana. Jawapan Anwar ini cukup berkesan kepada para pengundi.

Mesej lain yang amat ketara dari pengundi di Permatang Pasir ialah mereka menolak trend rasuah yang berleluasa dan sudah tidak terkawal di negara ini. Di samping itu mereka menolak penyelewengan, perlakuan nepotisme, pilih kasih dan pelanggaran kepada hak asasi manusia seperti yang tercermin dalam pelaksanaan ISA, walaupun telah dibantah keras sejak bertahun-tahun lamanya oleh pelbagai lapisan rakyat.

Sudah demikian banyak air mata yang tumpah dari anak isteri dan saudara mara tahanan ISA kerana penderitaan mereka, tetapi tidak sedikitpun mendatangkan kesan di hati pemimpin Umnp/BN yang memerintah, menunjukkan demikian keras hati mereka. Ini semua menyebabkan rakyat sangat kecewa dan marah. Demikian juga pemerintah masih gagal menangani isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris yang dianggap oleh para pejuang bahasa dan intelektual sebagai penghinaan berterusan kepada bahasa Melayu.

Bantahan rakyat ini adalah jujur dan rasional. Namun tidak sedikitpun mengubah hati dan pendirian pihak berkuasa. Mereka merasakan cukup yakin dengan kekuatan kuasa yang ada pada mereka dan mereka juga amat percaya bahawa langkah mereka adalah benar. Pemimpin Umno/BN sering mengatakan bahawa tindakan mereka yang membantah ini dilatarai oleh kepentingan politik pembangkang, atau berbau politik semata-mata dan tidak boleh dilayan. Ini hujah mereka yang berkuasa, mematikan semua suara rasional rakyat.

Sehingga kini, tidak ada sebarang tanda yang dapat diharapkan oleh rakyat bahawa kerajaan Umn/BN akan mendengar dan menerima kehendak rakyat ini. Justru itu keputusan pilihan raya kecil Petrmatang Pasir ini dan pilihan raya yang lain membuktikan bahawa rakyat pelbagai kaum telah menolak Umno/BN. Justru itu, pemimpin dan pendukung Umno/BN sedialah belajar dan berfikir untuk menjadi pembangkang.

Jangan berfikir bahawa setelah memerintah lebih setengah abad, Umno/BN tidak akan tergugat. Kezaliman, kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor, mungkin memakan masa lama, tetapi ia tidak kekal, sebab ia sebuah kejahatan. Pilihan Raya Umum akan datang, tidak lama lagi, jika diizin Allah, pemimpin Umno/BN akan menerima hakikat bahawa mereka akan menjadi pembangkang di mana Pakatan Rakyat akan menjadi pemerintah Kerjaan Pusat. Jangan ada yang berkata, ini angan-angan dan mustahil berlaku kerana Umno/BN begitu gagah.

Untuk itu jawapannya ialah, siapa yang percaya bahawa Umno/BN menerima kekalahan teruk dalam PRU yang lalu dan terus menerus kalah dalam semua pilihan raya kecil selepas itu di Semenajung. Keangkuhan akan berakhir.

No comments:

Post a Comment