Thursday, September 3, 2009

Rampasan Kuasa Selangor : 16 September




Desas-desus bahawa Perdana Menteri, Najib bakal merampas kuasa kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat pada September tahun ini, mungkin berakhir seperti perancangan 16 September, tahun lalu. Agak mustahil untuk Barisan Nasional merampas lapan kerusi, sebagai langkah menjatuhkan kerajaan PR buat setakat ini.

Namun, seandainya BN cuba menyempurnakan rancangan rampasan kuasa dengan dakwaan rasuah terhadap ADUN tertentu, ia mungkin memerlukan lebih masa. Singkatnya, kemungkinan untuk BN menggulingkan kerajaan PR Selangor pada September tahun ini, hampir mencecah sifar.

Exco Kontroversi: Hasan Mohd Ali

Exco paling kontroversial, Hasan Mohd Ali (gambar kiri), juga Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, tersenarai dalam golongan "berisiko tinggi". Namun, ketika ditanya kemungkinan Hasan Ali untuk melompat parti, Exco Senior, Teresa Kok menafikannya secara terus-terang, "Lain cerita kalau beliau dapat membawa lapan orang melompat bersama-sama. Kalau tidak, untuk apa beliau lompat? Lompat untuk jadi pembangkang?"

Selepas tsunami politik 8 Mac, Hasan Ali pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar, diberi laluan oleh Khir Toyo (bekas MB) sebagai langkah untuk memastikan UMNO terus berkuasa di negeri, menurut seorang pemimpin PAS. Hasan Ali walau bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan PAS pusat, untuk bersama dengan PR.

Justeru itu, gerak-geri Hasan Ali kebelakangan ini dibaca sebagai desakan untuk menuntut lebih sumber daripada kerajaan PR. Malah, sumber maklumat yang rapat dengan PAS tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Hasan Ali untuk mencetus pertikaian seperti penjualan arak hanyalah "ugutan" semata-mata.

Bagaimanapun, Teresa Kok tetap menolak kemungkinan rakan sekerjanya untuk melompat parti, berasaskan kenyataan bahawa PAS tidak mungkin menarik diri dari kerajaan negeri PR, kecuali Hasan Ali melompat secara individu. Maka, pemimpin DAP ini melihat desas-desus rampasan kuasa, lompat parti cuma "perang psikologi" untuk menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kerajaan PR Selangor.

Rapat dengan Ezam : Amirudin Shaari

Khabar angin sebelum ini meramalkan formula lompat parti 3-2-3, iaitu tiga dari PAS, dua dari DAP dan tiga dari PKR, namun Merdekareview dimaklumkan hanya lima orang ADUN yang berkemungkinan melompat parti, iaitu dua dari PKR dan tiga dari PAS.

Tetapi, Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim ketika ditanya, hanya meramalkan maksimanya empat orang yang berkemungkinan lompat parti, tanpa menamakan siapa mereka.

ADUN Batu Caves, Amirudin Shaari (gambar kanan) dan ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafei, adalah antara yang tersenarai dalam "golongan berisiko". Amirudin Shaari tidak terkejut dengan khabar angin bahawa dirinya bakal melompat parti, menyedari dirinya dilihat sedemikian kerana pernah rapat dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd.Ezam Mohd.Nor.

Namun demikian, Amirudin Shaari secara tegas menafikan bahawa dirinya akan melompat parti. Amirudin Shaari pernah menjadi AJK ketika Ezam menerajui AMK, dan Mat Suhaimi Shafei pula adalah ahli ketika Ezam menjawat Ketua Bahagian Shah Alam. Ezam meninggalkan PKR sebelum PRU ke-12, dan menyertai semula UMNO selepas PRU ke-12.

Badrul Hisham Abdullah yang "gagal dihubungi" disenaraikan sebagai "golongan berisiko tinggi". Kerajaan PR Selangor dan PKR telah menuntut beliau untuk memberi perjelasan dalam minggu ini.

"Kerana kami menerima aduan, dan kami terpaksa menguruskannya. Kami perlukan beliau untuk memberi perjelasan, bukan mempersoalkan sama ada beliau akan melompat parti," jelas Amirudin Shaari.

Dakwaan rasuah sebelum lompat?

Pengalaman kedua-dua orang ADUN PKR di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu menghilangkan diri sebelum muncul di depan kamera dalam sidang media bersama Najib, masih segar dalam ingatan. Lompatan kedua-dua orang ini, ditambah pula ADUN DAP Hee Yit Foong yang berakhir dengan kejatuhan Perak ke tangan BN, telah dijadikan sebagai pengajaran untuk PR.

Teresa Kok berkata, kemungkinan UMNO menjatuhkan kerajaan PR melalui lompat parti tidak tinggi. Justeru itu, UMNO kini cenderung untuk menggunakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu dituduh rasuah terlebih dahulu, berakhir dengan kedua-dua orang mengambil pendirian pro-UMNO, dan tuduhan awal itu "lenyap" setelah mereka menyebelahi BN. Maka, apa yang berlaku ke atas Exco Selangor, Ronnie Liew mengundang pertikaian.

Ronnie Liew yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan menafikan kemungkinan lompat parti, malah dengan tegas menyatakan, "Siapa yang menyebut 'lompat parti' kepada saya, saya akan laporkan!"

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, artikel ini ditulis dalam bahasa Cina, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Wednesday, September 2, 2009

DUN KOTA SIPUTEH: KEPUTUSAN SPR BERCANGGAH DENGAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI KEDAH




Parti Se-Malaysia (PAS) menolak keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mengistiharkan bahawa Dun N3:Kota Siputeh tidak kosong. Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif, yang didakwa hilang keanggotaannya kerana tidak hadir dua mesyuarat secara berturut-turut.

Berdasarkan Perkara 51: Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UUTKNK);


Jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong"

Dalam kes ADUN Kota Siputeh, beliau didap"ati gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. Maka keputusan Speaker adalah menepati Perkara 51 UUTKNK.

Walaubagaimana pun SPR mentafsirkannya sebagai tidak sah kerana melibatkan dua penggal yang berbeza dimana mesyuarat 19 April berlaku dalam penggal pertama dan mesyuarat 9 Ogos dalam Penggal yang kedua.

Ini bercanggah dengan Perkara 51 yang langsung tidak menyebutkan isu penggal. Perkara 51 hanya menyebut tentang mesyuarat tanpa mengasingkannya mengikut penggal dan kuasa memberikan kebenaran adalah ditangan Speaker bukannya Ketua Pembangkang yang gagal melakukan tugasnya pada waktu kejadian.

Tindakan SPR ini juga bercanggah dengan Perkara 52, UUTKNK yang menyebut;

"Jika berbangkit apa-apa soalan fasal adakah mana-mana Ahli Dewan Negeri itu tiada layak menjadi ahli maka hendaklah diambil keputusan Dewan dan itulah yang muktamad."

Maka SPR tiada kuasa untuk membuat tafsiran atau keputusan kerana kekosongan Dun Kota Siputeh yang boleh diputuskan oleh Speaker dan Mesyuarat Dewan sahaja.

Maka, dengan sendirinya keputusan SPR itu terbatal dan tidak terpakai. Maka perkara ini perlu dibawa kepada Mesyuarat DUN atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Perlembagaan menetapkan bahawa SPR hanyalah berfungsi sebagai;

1. Jawatakuasa pilihan raya ke atas kawasan parlimen dan DUN, mengelola pilihan raya, dan pelaksanaan pendaftaran pemilih.

2. Ia juga mengumpul maklumat mengenai kawasan baru yang membolehkan keadilan dapat dilakukan ke atas pengundi untuk mengundi di kawasan pengundian yang ditetapkan, mempromosikan kepentingan mengundi, dan menguruskan semakan daftar pemilih dengan memadam nama-nama orang yang telah mati atau didapati tidak layak mengundi.

3. Pada hari pengundian, anggota SPR dan pegawai akan berada di pusat pengundian untuk menjalankan proses pengundian pilihan raya.

Maka tugas menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak adalah kuasa Speaker dan Dewan semua negeri dan Parlimen. SPR tidak boleh memandai-mandai menjadi hakim jika tidak kes seperti di Perak akan berlaku sekali lagi.

PAS sekali lagi menyatakan pendirian menolak keputusan SPR dan meminta agar pihak SPR menghormati kuasa Speaker dan Dewan Undangan Negeri Kedah.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Krisis Perak:Hukuman Penjara




Sidang DUN Perak yang dipanggil oleh Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar mengesahkan keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker BN, Datuk R Ganesan and ADUN Bebas pro-BN, Hee Yit Foong.

Laporan jawatankuasa tersebut yang dilantik oleh kerajaan negeri Pakatan tahun lalu, dibentangkan dalam sidang DUN hari ini yang berlangsung di Hotel Heritage Ipoh, selepas polis menghalang mereka masuk ke bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) Perak pagi tadi.

Terlebih dahulu, suka saya ingatkan akan hadis Nabi:

"sesungguhnya fitnah itu tidur, MAKA CELAKALAH SESIAPA YANG MEMBANGUNKANNYA..."

Sebelum ini Perak aman damai di bawah Pakatan Rakyat, UMNO tidak berpuas hati dengan sokongan masyarakat kepada Nizar dan PAS lalu UMNO mengatur strategi keji. Beberapa ADUN Pakatan didakwa atas pelbagai tuduhan khususnya rasuah. Tiba-tiba, Adun-adun yang sedang didakwa rasuah ini melompat dan menyokong Barisan Nasional pula. Keutuhan dan kestabilan Perak terganggu.

UMNO dan BN digesa untuk menjadi anak jantan dengan mengadakan pilihanraya. UMNO enggan kerana faham bahawa mereka akan kalah pilihanraya. Ini diramalkan berdasarkan kekalahan berterusan BN dalam pilihanraya kecil.

UMNO seterusnya membakar api perkauman dan sentimen agama dengan pelbagai cara tetapi gagal. UMNO lalu mencadangkan agar kem tentera dibuat disemua kawasan PArlimen untuk menggunakan undi pos. Tak cukup dengan itu, UMNO mencadangkan agar Pemuda UMNO dilatih secara komando. Mungkin ini bertujuan untuk membuat huru-hara apabila PAS kalah kelak.

Sekiranya PAkatan menang, insya-Allah, UMNO akan terus membuat huru-hara. Ini tidak sukar diramal. Kemenangan Islam diAlgeria dan Turki terbatal apabila pihak sekular yang kalah menggunakan tentera untuk membatalkan pilihanraya yang sudah dimenangi. Dengan kekejian UMNO yang tidak terbatas, PAS sepatutnya mengkaji kaedah menghadapi teknik keji ini kerana UMNO pasti tidak segan silu berbuat apa sahaja apabila kalah kelak.

Seterusnya, sekiranya Pakatan berjaya menjadi kerajaan pusat kelak, tentulah berduyun-duyun kepimpinan UMNO dan BN yang rasuah akan dibicara dan disumbat ke penjara ika disabitkan..

Speaker palsu dan mereka yang terlibat dengan krisis Perak juga bolehlah disumbatkan sama. Amin.

"Pergi jahanam dengan UMNO"

Tuesday, September 1, 2009

Najib pun nak jadi Mufti




"Setelah sekian lama para mufti membisu berhubung slogan 1Malaysia, akhirnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bangkit mendahului institusi tertinggi agama Islam itu dengan memberi fatwa bahawa gagasan yang direkaciptanya itu menepati ajaran Islam.

Menurut muka depan akhbar propaganda dan gerak saraf Umno, Utusan Malaysia, Najib ketika berucap di hadapan penuntut-penuntut Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Habibiah, di pekarangan Masjid Jamek Batu 20, Kuang, Selangor pada majlis berbuka puasa semalam

berkata, gagasan 1Malaysia yang direka dan sedang dilaksanakannya sekarang telah menepati kehendak ajaran Islam yang sentiasa menuntut umatnya berlaku adil sesama manusia termasuk kepada yang bukan Islam.

Menurut Najib, seperti yang dinyatakan Allah SWT dalam surah Al-Maidah yang menekankan keadilan untuk semua, amalan itu akan meningkatkan ketakwaan seseorang.

Katanya lagi, gagasan 1Malaysia yang sedang dihayati pada masa ini merupakan satu gagasan yang tetap bersifat Islamik dalam pengisian dan matlamatnya.

“Ini adalah berpandu pada ayat kelapan dalam surah Al-Maidah yang bermaksud ‘Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil.
“Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa juga kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu ketahui,” katanya.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa.

Tegas Najib lagi, ayat tersebut menerangkan bahawa keadilan bukan hanya kepada umat Islam sahaja tetapi untuk semua orang.

Katanya, malah jika dilihat pada sejarah Rasulullah SAW, perlembagaan Madinah sendiri mengutama dan mempertahankan Islam sebagai agama keadilan untuk semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan beragama kepada penganut lain.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik kepada bukan sahaja umat Islam tetapi turut berlaku adil kepada yang bukan Islam.

“Mudah-mudahan dengan cara seperti ini, kita akan lebih bertakwa kepada Allah dan inilah sebenarnya yang terangkum dalam gagasan 1Malaysia.

“Apabila kita amalkan 1Malaysia, insya-Allah negara kita akan lebih aman dan kehidupan kita lebih harmoni di negara Malaysia yang dicintai,” ujarnya.

1Malaysia yang mengandungi dua ayat “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” ialah gagasan yang dicipta Najib sebaik sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PM terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagaimana Abdullah yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari (kini telah ghaib) dulu, Najib juga segera memintas bahawa ianya bertepatan dengan Islam, iaitu agama rasmi negara ini.

Sebagaimana para ulamak dan ustaz yang beria-ia mencari dalil, berhujah dan berseminar bagi mengislamikkan Islam Hadhari dulu, 1Malaysia juga dijangka akan dikupas para ulamak bagi mempertahankan betapa syari’ienya konsep tersebut.

Setakat ini para ustaz kerajaan belum digerakkan secara rasmi bagi mempromosikan 1Malaysia. Yang ada ialah ciptaan berpuluh-puluh lagu yang didendangkan di corong-corong radio dan stesen televisyen.

Barangkali bertolak daripada kelembapan para ustaz Umno untuk mengislamikkan 1Malaysia, Najib bingkas bangun mendahului para mufti memfatwakan gagasannya itu menepati ajaran Islam.

Bagi sesetengah pihak, konsep yang dimainkan itu banyak menyalahi tindak-tanduk partinya sendiri kerana kelompok yang dipimpinnya itu setakat ini terlalu banyak memainkan sentimen perkauman untuk survival. Termasuk agenda media arus perdana yang merupakan tali barut Umno, saban hari memainkan isu perkauman sehingga meresahkan keseluruhan rakyat.

Terbaru, Umno mendalangi satu perarakan membawa kepala lembu di Shah Alam bagi membantah perpindahan kuil, tetapi jelas bertujuan perkauman.

Sebelum ini sudah banyak kalimah-kalimah perkauman dilontar dan demonstrasi jalanan anjuran pendokong parti itu dibuat, juga berunsur perkauman.

Agenda perkauman sengaja dimainkan Umno setelah kekalahan besar BN pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Antara agenda perkauman yang dimainkan Umno dengan konsep 1Malaysia yang mengajak kepada perpaduan, di tengah-tengah itulah rakyat sebenarnya amat terkeliru dan bingung mana satukah yang benar!

Sidang Dun PERAK Di Hotel



Selepas gagal masuk ke bangunan sekretariat kerajaan negeri (SUK) pagi tadi, para ADUN Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bilik ballroom Hotel Heritage di Ipoh.

Nama ADUN yang telah 'dipecat' atau telah 'meletak jawatan' seperti Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan tiga ADUN yang mengisytiharkan diri sebagai calon bebas, tidak diletak pada meja di situ.

ADUN Pakatan duduk di sebelah kanan Speaker V Sivakumar (tempat ADUN parti pemerintah duduk). Empat lagi ADUN Pakatan tidak kelihatan - tiga ditangkap pagi tadi dan seorang lagi sedang mengerjakan umrah.

Kemudian, dua usul diluluskan dan sidang itu sedang membahaskan usul ketiga.

Usul pertama diluluskan sebulat suara - yang mengesahkan laporan jawatankuasa hak dan kebebasan DUN mengenai:

1. (Speaker BN) Datuk R Ganesan, yang bukan seorang ADUN, yang masuk ke dewan DUN tanpa kebenaran speaker dan enggan keluar sewaktu sidang 7 Mei lalu, apabila diperintah berbuat demikian oleh speaker (Sivakumar).

2. (Bekas timbalan speaker) Hee Yit Fong, yang keluar DAP dan didakwa bertindak sebagai speaker, dan mempengerusikan sidang DUN (pada 7 Mei) dan menjalankan pengundian yang memilih Ganesan sebagai speaker.

Tiada p'raya kecil di Kota Siputeh




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah.

Oleh itu, menurut SPR, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan di DUN tersebut.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Hadiah Untuk Rakyat Malaysia



Terus terang saya katakan, secara jujur dan ikhlas saya katakan, saya amat dukacita dan kecewa terhadap Kerajaan Malaysia dalam isu kenaikkan harga minyak hari ini.


Masih saya ingat, kerajaan menjanjikan kenaikkan untuk Ron97 sepatutnya pada aras RM2.00 seliter dan Ron95 berkadar RM1.75 seliter iaitu 5sen lebih murah daripada RM1.80 sepertimana yang biasa kita isi sebelum ini. Malangnya apa yang berlaku ialah, harga minyak Ron97 adalah RM2.05 manakala bagi Ron 95 pula RM1.80. Adakah ini flip-flop? atau satu penipuan terancang?

Saya pernah hanya sekali menggunakan Ron95, itupun kerana terpaksa seumpama diperangkap oleh pengusaha stesen minyak shell Jln Kelang Lama pada pertengahan bulan lalu. Hanya Ron95 sahaja yang available pada waktu itu dan saya isi RM20 untuk percubaan. Hasilnya agak mengecewakan! Kereta menjadi sedikit semput dan tiada jaminan bahawa enjin akan terjaga dengan Ron95 yang tahap pembakaran jauh lebih rendah dari Ron97.

Apalah nasib rakyat Malaysia, dilayan oleh kerajaan setaraf kelas ke-3. Inikah yang dikatakan 'Rakyat Didahulukan'? Inikah maknanya 'rakyat didahulukan' untuk mempertaruhkan kereta tersayang mengisi minyak murah? Adalah menjadi satu beban yang lebih besar jika 'performance' kenderaan kita semakin merundum dan bermasalah setelah menggunakan minyak murah ini.

Kita dipaksa untuk membayar harga yang tinggi untuk minyak yang lebih baik sedangkan negara ini penuh dengan hasil minyak terbaik. Tidakkah kita berfikir tentang ini dan mendiamkan diri apabila dipermainkan oleh kerajaan yang zalim sebegini?

Dalam kesabaran umat Islam negara ini mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadhan, Kerajaan Malaysia mengambil kesempatan menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impaknya. Tidakkah kerajaan memikirkan hal rakyat yang bakal menyambut Syawal? Saya percaya, harga barang sedikit sebanyak akan naik kerana alasan basi kenaikkan harga minyak! Ini membebankan rakyat yang ingin menyambut ketibaan Syawal.

Bukankah kerajaan atau sesiapa sahaja tahu bahawa apabila tiba hari perayaan, pastinya kenderaan banyak bergerak, pastinya kita akan banyak berjalan menggunakan kenderaan untuk balik ke kampung serta ziarah menziarahi antara satu sama lain sepanjang syawal. Sudah tentu kegunaan minyak akan berlipat kali ganda dari keadaan biasa. Tidakkah kerajaan fikirkan hal rakyat? Adakah ini yang dinamakan Perdana Menteri rakyat? Jauh panggang dari api.

Mengapa tidak kerajaan Barisan Nasional menaikkan harga minyak selepas musim perayaan? Apakah kerajaan ini sudah gila? Dikala melaungkan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, dikala itu jugalah rakyat diperbodoh dan diseksa!

Kita rakyat bukan lagi bodoh! jangan paksa kami guna Ron95 kelak kami akan merana apabila minyak tersebut mengkarbonkan enjin kenderaan kami! Kerajaan Malaysia yang tidak punya hati perut, dan berwatakkan binatang di bawah pemerintahan Perdana Menteri pembunuh ! Biarlah pahala puasa hari ini dipotong separuh kerana memaki hamun, asalkan aku terus berjuang dengan sebakul kata-kata bersama sepotong buah fikiran.

Hancur BN ! Hidup Rakyat !!