Wednesday, September 9, 2009

Calon Pakatan Rakyat Dari PAS Untuk PRK N31 Bagan Pinang




Majlis Pimpinan Negeri Sembilan telahpun membuat keputusan secara sebulat suara dalam satu mesyuarat khas bahawa sempena Pilihan Raya Kecil N31, Bagan Pinang, KEADILAN Negeri Sembilan bersetuju supaya calon Pakatan Rakyat yang bertanding adalah daripada PAS.

Dengan ini juga KEADILAN Negeri Sembilan akan menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh pimpinan PAS pada pilihan raya tersebut nanti.

Yang lebih penting KEADILAN Negeri Sembilan akan memberi sokongan padu yang tidak berbelah-bahagi supaya kemenangan Pakatan Rakyat mempastikan kewujudan satu lagi tsunami atau gelombang kebangkitan rakyat.
KEADILAN akan menggerakkan seluruh jentera dan bekerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat selaras dengan perjuangan untuk menyuburkan semangat politik baru yang melangkaui fahaman perkauman sempit demi membina Negara Malaysia yang gemilang pada masa depan.

Keputusan ini diambil selaras dengan semangat Pakatan Rakyat yang saling bersepakat dalam apa jua keadaan demi memperjuangkan agenda rakyat.

DATO' KAMARUL BAHARIN ABBAS

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri

Parti Keadilan Rakyat
Negeri Sembilan

Tuesday, September 8, 2009

Syabas Tok Guru dan Khalid Samad




"YB Nurul Izzah dari Lembah Pantai begitu murah hati. Dia memuji saya sebagai seorang pemimpin politik Melayu yang berani sederhana dan berprinsip. Saya amat berterima kasih kepadanya.

Tetapi sebenarnya ada ramai lagi pemimpin Melayu Islam yang tidak ekstrem dan bersifat sederhana. Mereka berani ,ada prinsip dan integriti. Mereka juga wajar kita beri perhatian dan sokongan .Orang Melayu Islam di negara ini memerlukan kepimpinan yang sederhana dan berperikemanusiaan seperti Tok Guru Nik Aziz dan YB Khalid Samad.

Berbeza pula dengan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein yang bangga kerana dapat menunjukkan kepada kepimpinan UMNO dan kuncu-kuncu mereka di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor bahawa dialah yang prihatin dengan nasib orang-orang UMNO. Orang-orang inilah yang berarak dengan kepala lembu membantah cadangan pembinaan sebuah kuil kerana kononnya kuil itu dekat dengan rumah mereka. Hishammuddin sedikit pun tak rasa bersalah atau meminta maaf terhadap tindakan mengancam rusuhan kaum dan menghina kaum serta agama lain. Malah dia pula menjadi jurucakap kumpulan ini dengan berkata mereka tidak berniat untuk menghina sesiapa. Sudah tentu selepas lawatan ke tempat itu dan kenyataan Menteri yang sedemikian rupa, maka siasatan polis juga mungkin selesai begitu sahaja selepas ini. Jika pergaduhan kaum berlaku atas provokasi kumpulan kepala lembu itu, apakah Hishammuddin berani bertanggungjawab?

Pada zaman penjajahan dahulu, iaitu sebelum UMNO bermaharajalela di negara ini, Masjid Kapitan Keling telah dibina di sebelah kuil Hindu Arulmigu Mahamariamman di Pitt Street di Pulau Pinang. Di hadapan masjid itu pula ada gereja Kristian St George’s Church. Orang Islam masa itu bila sembahyang di masjid itu tidak pula rasa tersinggung atau goyang iman mereka. Mereka tidak pula menyembelih lembu dan berarak membawa kepala lembu serta memaki hamun kaum dan agama lain. Yang berkuasa di Pulau Pinang pada zaman itu adalah orang Kristian. Mereka berhak untuk melarang pembinaan Masjid Kapitan Keling dan kuil Hindu di sebelah gereja mereka. Kuasa ada pada mereka. Mereka boleh memberi alasan kononnya mereka tersinggung dann terguris hati jika masjid dan kuil dibina di sebelah gereja mereka. Mereka boleh berkata sembahyang mereka tidak sempurna atau tidak diterima Tuhan kalau ada masjid dan kuil yang berdekatan dengan gereja mereka. Tetapi penjajah Inggeris tidak pula berbuat demikian. Malah dekat situ juga ada kuil Kuan Yin Teng untuk orang Cina. Nampaknya pada zaman dulu, manusia Malaya boleh hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Masa itu orang Melayu Malaya tidak perlu dibawa ke seminar khas Biro Tata Negara untuk menginsafkan mereka tentang nasib agama dan bangsa. Masa itu tidak ada Utusan Malaysia yang mana pengarangnya seperti Zainuddin Maidin dan anak-anak didiknya telah mengajar orang Melayu supaya membenci kaum dan agama lain.

Jika masyarakat Pulau Pinang terdiri dari berbagai kaum, Kelantan pula yang majoriti penduduk adalah orang Melayu turut bersikap terbuka. Kerana sifat unik orang Kelantan ini, maka UMNO tidak sempat tumbuh segar dan dengan itu selamatlah nasib orang Melayu Islam Kelantan. Darah mereka belum tebal dengan rasa benci dan perkauman yang meluap-luap. Jiwa Islam Melayu yang dipupuk dalam suasana kampung masih tenang dan beradab. Kalau orang Kelantan “gedebe” pun, ia tidak ada kena-mengena dengan kebencian kaum dan agama. Orang Kelantan ke masjid dan surau untuk melakukan ibadah tetapi tidaklah pula mereka rasa tersinggung bila melihat kuil Buddha yang besar tersergah di kawasan mereka. Hanya di Kelantan ada tiga wat Buddha yang terbesar; Buddha Berdiri di Kampung Balai, Buddha Berehat di Kampung Berok dan Buddha Bersila di Kampung Jubarak. Semua wat Buddha ini dibina dengan harga berjuta ringgit; berada dalam kawasan majoriti besar orang Melayu Islam. Tetapi Melayu Islam di kampung-kampung ini tidak sama dengan sesetengah Melayu canggih di Seksyen 23 Shah Alam. Melayu kampung di Kelantan mendengar nasihat Tok Guru Nik Aziz untuk hormat agama lain. Mereka tahu apa yang Tok Guru ajar itu memang berlandaskan Al-Quran yang melarang umat Islam mempermain-mainkan agama orang lain. Orang Melayu Islam di Kelantan juga tidak terguris hati mereka bila kerajaan membina sabuah masjid di Rantau Panjang yang bentuk rupa saperti rumah maharaja Cina. Malah mereka bangga dengan sikap toleran dan keterbukaan Islam yang di tonjolkan olih Tok Guru.

Sepatutnya orang Melayu di Shah Alam mendengar nasihat YB Khalid Samad, seorang pemimpin Melayu Islam yang sederhana dan peka kepada tuntutan dan masalah rakyat di negara majmuk Malaysia ini. Khalid telah menulis dengan berani dalam blognya: “Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini di sebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?”. Kalau nak tahu lebih lanjut isu kuil dan kepala lembu itu, sila layari: www.khalidsamad.com

Khalid dan Tok Guru adalah antara pemimpin Melayu Islam yang patut kita banggakan kerana mereka mampu menyelamatkan negara ini dari terjunam ke dalam kancah pergaduhan kaum dan pertelingkahan agama yang dashat. Saya yakin ada ramai lagi orang Melayu Islam yang berpendirian sederhana tapi tegas dan benar-benar menghayati prinsip jujur, ikhlas dan toleran mengikut ajaran Islam. Orang-orang seperti inilah yang wajar kita dengar pandangan mereka. bukan penghasut dan pembenci kaum dan agama.

Kepala lembu: 12 didakwa esok


Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.

Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

section 23 shah alam resident cow head protest against hindu temple relocation on the 28 august 080909Sementara itu, ketua unit pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, mereka tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana mereka tidak dapat dikesan.

Katanya, sebaik sahaja polis mengesan mereka, mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis.

Dalam perkembangan berkaitan, empat daripada 12 orang ini dilaporkan telah ditahan untuk diseret ke mahkamah.

Lapan lagi akan ditahan hari ini juga untuk tujuan yang sama, lapor akhbar The Star lagi lewat petang ini.

Difahamkan, mereka yang bakal dibawa ke mahkamah termasuklah:

- Rahimuddin Md Harun, timbalan pengerusi Angkatan Tindakan Mempertahankan Hak Orang Melayu (Atom) dan timbalan presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris),
- Mohd Zurit Ramli, setiausaha Gabungan NGO Malaysia,
- Mahyuddin Manaf, pengerusi jawatankuasa bertindak,
- Ibrahim Sabri, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak, dan
- Zainudin Md Yusuff, pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 23.

Mereka dipercayai akan dituduh di mahkamah Shah Alam pagi esok.

Semalam, peguam negara berkata mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi berkenaan akan didakwa menghasut.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Kira-kira 50 penunjuk perasaan meluahkan keberangan mereka di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam dengan ucapan berapi-api dan memijak kepala lembu yang diusung dari pintu masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut.

Mereka membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dari Seksyen 19 Shah Alam.

Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.
Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

Friday, September 4, 2009

Surat YB Khalid Samad Kepada Penduduk Seksyen 23


Umno perlu bersedia sebagai pembangkang




Tidak syak lagi, dengan tujuh kemenangan berturut-turut diraih oleh calon Pakatan Rakyat, termasuk yang terkini dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir baru-baru ini, sudah sampai masanya Umno/BN berfikir untuk menjadi pembangkang. Memang kenyataan ini sukar ditelannya, lebih-lebih lagi setelah lebih 50 tahun berkuasa.

Namun betapapun sukar ditelan, Umno yang menjadi tonggak BN selama ini, terpaksa menerima hakikat ini justru kerana semua isyarat yang ada sekarang tidak memperlihatkan bahawa parti berasaskan perkauman itu tidak mempunyai masa depan di tengah-tengah perubahan pemikiran masyarakat.

Keputusan terbaru di Permatang Pasir di mana calon PAS, Ustaz Salleh Man menang mengalahkan calon BN, Rohaizat Othman dengan majority 4551 undi dan sebelum ini kekalahan Umno/BN di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan Penanti, adalah isyarat jelas yang wajar disedari oleh Umno/BN bahawa komponen itu tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

Setiap ketika, tanpa seharipun berhenti, pemimpin Umno dan penyokongnya tidak hernti-hentinya meniupkan semangat perkauman, lebih-lebih lagi dalam setiap kempen pilihan raya, termasuklah pada kempen di Permatang Pasir baru-baru ini di mana isu perkauman ditiupkan dengan kencang dan beraninya, disemarakkan lagi oleh media tradisional yang mereka miliki.

Namun keputusan di Permatang Pauh ini, seperti juga keputusan dalam pilihan raya kecil ditempat lain menunjukkan bahawa rakyat telah menolak:

+ Isu perkauman

+ Isu pembangunan yang menjadi ‘Isu Keramat’ Umno/BN hingga mereka berjanji hendak menjadikan Permatang Pasir ‘Anak Emas’, sementara di Dun Manek Urai dulu juga hendak dijadikan Dun itu ‘Anak Angkat. Di mana-manapun itulah modal mereka. Sedangkan menyediakan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan, siapapun yang menjadi kerajaan.

+ Pengundi menolak taburan pelbagai pemberian segera ketika kempen yang menjadi satu trend yang sama sekali tidak baik, melanggar peraturan dan etika moral.

+ Pengundi juga menolak propaganda dari media tradisional Umno/BN di mana tidak henti-hentinya melancarkan serangan peribadi yang amat jahat kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat, hingga tidak sanggup didengar dan dibaca oleh mereka yang waras. Untuk ini kita bertanya, di mana kewarasan mereka ini, di mana mereka meletakkan persoalan dosa dan pahala dan rasa kemanusiaan. Kermpen seperti ini sangat ganas dan kelihatannya sama sekali tidak terkawal.

Ketika berucap dalam kempen tersebut, dengan suara yang tenang dan teratur, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata: “Mari kta berhujah secara rasional mengenai pelbagai isu, mari kita berdebat mengenai soal moral dan etika, mengenai falsafah keadilan dan demokrasi, mari kita berhujah mengenai masa depan negara, mengenai rasuah, penyelewengan dan ketidak adilan, mari kita berdebat mengenai agenda negara dan saya bersedia menerima dan berhujah dengan mereka di mana-mana dan bila-bila masapun. Pendapat saya dan pendapat mereka boleh saja diterima dan ditolak.”

Namun Anwar amat kesal dan kecewa dengan serangan berterusan pemimpin Umno/BN kepadanya dan Tuan Guru. “Mereka kata, saya pengkhianat bangsa dan negara. Bila saya mengkhianati bangsa Melayu dan negara? Siapa yang memberikan kemudahan kepada kegiatan perjudian, sedangkan membiarkan rakyat miskin lapar tanah begitu saja. Siapa yang memonopoli ribuan AP yang kemudian diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai saja. Siapa yang mengumpul harta kekayaan melamau untuk keluarga sendiri, membiarkan rakyat miskin. Banyak lagi yang mereka lakukan tetapi didiamkan begitu saja.”

Kata Anwar, mereka menghina Tuan Guru Nik Nik Abd Aziz dengan begitu dahsyat sekali. Padahal Menteri Besra itu, katanya, hidup amat sederhana di rumah kampung. Pada ketika yang sama pemimpin Umno/BN hidup bermewah-mewah, mendiami rumah yang bagaikan istana. Jawapan Anwar ini cukup berkesan kepada para pengundi.

Mesej lain yang amat ketara dari pengundi di Permatang Pasir ialah mereka menolak trend rasuah yang berleluasa dan sudah tidak terkawal di negara ini. Di samping itu mereka menolak penyelewengan, perlakuan nepotisme, pilih kasih dan pelanggaran kepada hak asasi manusia seperti yang tercermin dalam pelaksanaan ISA, walaupun telah dibantah keras sejak bertahun-tahun lamanya oleh pelbagai lapisan rakyat.

Sudah demikian banyak air mata yang tumpah dari anak isteri dan saudara mara tahanan ISA kerana penderitaan mereka, tetapi tidak sedikitpun mendatangkan kesan di hati pemimpin Umnp/BN yang memerintah, menunjukkan demikian keras hati mereka. Ini semua menyebabkan rakyat sangat kecewa dan marah. Demikian juga pemerintah masih gagal menangani isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris yang dianggap oleh para pejuang bahasa dan intelektual sebagai penghinaan berterusan kepada bahasa Melayu.

Bantahan rakyat ini adalah jujur dan rasional. Namun tidak sedikitpun mengubah hati dan pendirian pihak berkuasa. Mereka merasakan cukup yakin dengan kekuatan kuasa yang ada pada mereka dan mereka juga amat percaya bahawa langkah mereka adalah benar. Pemimpin Umno/BN sering mengatakan bahawa tindakan mereka yang membantah ini dilatarai oleh kepentingan politik pembangkang, atau berbau politik semata-mata dan tidak boleh dilayan. Ini hujah mereka yang berkuasa, mematikan semua suara rasional rakyat.

Sehingga kini, tidak ada sebarang tanda yang dapat diharapkan oleh rakyat bahawa kerajaan Umn/BN akan mendengar dan menerima kehendak rakyat ini. Justru itu keputusan pilihan raya kecil Petrmatang Pasir ini dan pilihan raya yang lain membuktikan bahawa rakyat pelbagai kaum telah menolak Umno/BN. Justru itu, pemimpin dan pendukung Umno/BN sedialah belajar dan berfikir untuk menjadi pembangkang.

Jangan berfikir bahawa setelah memerintah lebih setengah abad, Umno/BN tidak akan tergugat. Kezaliman, kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor, mungkin memakan masa lama, tetapi ia tidak kekal, sebab ia sebuah kejahatan. Pilihan Raya Umum akan datang, tidak lama lagi, jika diizin Allah, pemimpin Umno/BN akan menerima hakikat bahawa mereka akan menjadi pembangkang di mana Pakatan Rakyat akan menjadi pemerintah Kerjaan Pusat. Jangan ada yang berkata, ini angan-angan dan mustahil berlaku kerana Umno/BN begitu gagah.

Untuk itu jawapannya ialah, siapa yang percaya bahawa Umno/BN menerima kekalahan teruk dalam PRU yang lalu dan terus menerus kalah dalam semua pilihan raya kecil selepas itu di Semenajung. Keangkuhan akan berakhir.

ADUN BN Bagan Pinang NS meninggal




ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.

Beliau meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 54, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.

Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).

Azman juga merupakan naib ketua Umno bahagian Teluk Kemang.

Menurut Bernama, anak lelakinya Hairol Asfani, 22, berkata bapanya meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah.

BN menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan. Dalam pilihan raya lalu, DAP menang 10 kerusi, PKR (4) dan PAS (1).

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normah Zainal Abidin, 49, dan lima anak iaitu Mohd Khusairi, 23, Hairol Asfani, 22, Norsyazila, 19, Norsyafikah, 16, dan Norsyafitra, 13.

Hairol Asfani yang ditemui pemberita di hospital itu berkata bapanya dimasukkan ke hospital pada jam 3.30 pagi tadi akibat demam dan tidak boleh berjalan.

"Ayah mengadu demam sebelum ini tapi boleh berjalan tetapi lepas berbuka (puasa) petang semalam ayah tidak boleh berjalan," katanya.

Beliau berkata semua anggota keluarga berada di sisi bapanya semasa allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2.30 petang.

Hairol Asfani berkata bapanya pernah menjalani pembedahan pintasan koronari pada Mei lalu.

Turut hadir di hospital ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan ekas Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa bdul Samad.

"Allahyarham merupakan kawan lama saya dalam Umno, tambahan pula beliau dalah Naib Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan telah berkhidmat dengan baik. aya berharap keluarga allahyarham dapat bersabar menerima dugaan ini dengan abah," kata Mohamad.

Mohd Isa pula berkata pemergian allahyarham adalah kehilangan seorang tokoh mno Bahagian Telok Kemang dan Negeri Sembilan.

Katanya allahyarham adalah seorang yang taat kepada parti dan komited dalam ugasan yang diberikan kepadanya.

Jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan kariah Bagan Pinang malam ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Abdul Razak ansor berkata beliau akan mengemukakan notis mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang kepada SPR Isnin ini (7 September).

"Terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan pengundian bagi ilihan raya kecil DUN itu," katanya.