Friday, September 25, 2009

Selcat Tonjol Selangor Sebagai Negeri Pertama Peneraju Sistem Negara Komanwel




Selangor yang menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor atau Selcat, adalah negeri pertama di Negara ini yang mengamalkan sistem pentadbiran seperti Negara-negara Komanwel.

Pengerusinya, Teng Chang Kim berkata, penubuhan Selcat di Selangor secara tidak langsung telah melonjakkan nama Selangor kerana rakyat bersetuju supaya satu pendengaran awam dilaksanakan.

"Dengan penubuhan Selcat, imej Selangor dan dewan negeri Selangor telah meningkat kerana rakyat mendapati ini adalah satu sistem yang harus dilaksanakan selepas 50 tahun kita merdeka…bentuk parlimen dan cara perundangan kita semua mengikut cara komenwel, cuma dalam aspek jawatankuasa in lemah sedikit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TvSelangor di pejabatnya di Bangunan Annex, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, SUK hari ini.

Jelas Teng, Selangor perlu dicontohi kerana berani membuat pembaharuan dan ini kali pertama sistem Selcat diadakan di Malaysia, selepas sekian lama Negara ini mencapai kemerdekaan.

"Selangor telahpun mengambil satu langkah yang tepat, ucap tahniah kepdaa menteri besar dan anggota exconya yang telah berani membuat pembaharuan bersama dengan ahli dewan membawa pembaharuan terkini iaitu menubuhkan jawatankuasa Selcat," katanya.

Kata Teng, Selcat adalah satu sistem baru yang tidak pernah dilakukan, dan pastinya mereka tidak lari dari kelemahan, bagaimanapun ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa, bagi memastikan perjalanannya lebih lancar.

Memang kami juga tidak menafikan kelemahan yang wujud kerana ini perkara yang baru kita lakukan, tetapi kita perlu ada satu pandangan yang lebih baik untuk memperbaiki kelemahan, tidak ada satu sistem yang sempurna, tapi kita mesti berikhtiar untuk menubuhkan satu sistem yang dapat memberi kesan yang terbaik.

Selcat diamalkan di Negara-negara Komanwel, meliputi pengurusan kewangan, rang undang-undang dan pentadbiran seperti di England, Kanada, New Zealand dan lain-lain.

Menurut Teng, selain Selcat, dewan negeri juga telah menubuhkan tiga jawatankuasa lain iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun serta Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah.

Namun, setakat ini dewan masih belum memberi kuasa kepada tiga jawatankuasa tersebut untuk menjalankan pentadbirannya dalam pendengaran bagi mengawal selia tiga entiti pentadbiran berkenaan.

Menurut Teng, sistem Selcat perlu diteruskan sekiranya berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan negeri akan datang untuk mempunyai pentadbiran yang merangkumi sistem check and balance.

"Adalah harapan kami sekiranya ada pertukaran kerajaan pada masa-masa akan datang, sistem yang baru ini , setanding dengan parlimen komanwel ini dikekalkan, yang kita pentingkan adalah satu sistem yang baik dan berkesan dan cekap, tidak kira keanggotaan," katanya.

Sementara itu, orang awam yang ditemui bersetuju dengan tindakan Selangor mewujudkan Selcat untuk menyemak sistem pentadbiran kerajaan sedia ada.

"Setuju sebagai satu bentuk timbal balik kepada pentadbiran itu sendiri, jadi kalau satu pentadbiran takde check and balance untuk semak dan pertimbangkan tindakan, so saya rasa kerajaan tu tak berfungsi dengan baik, so Selcat ni untuk mempertimbangkan satu pentadbiran adalah satu perkara yang baik," kata Norhaizal Hairudin.

"Basically its good la for check and balance for administrative system of the state, its good to have it…Selangor I think transparency is very important, in administrative very important," jelas V.Tamilarasi.-TVS

Jawab dulu bagaimana wang setengah juta habis dalam 3 bulan: Lau

Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak perlu terlalu ghairah memecah-belahkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya perlu terlebih dahulu memberi penjelasan berkenaan salah guna peruntukan DUN yang dihabiskan dalam masa kurang daripada tiga bulan

semasa Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kata ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Katanya, Mantan Menteri Besar itu turut menuduh DAP memanipulasikan SELCAT bagi menunjukkan mereka lebih berkuasa berbanding parti-parti lain di Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Khir Toyo dalam satu kenyataan yang diterbitkan akhbar tempatan Rabu lalu membidas DAP sebagai 'menggunakan SELCAT sebagai platform untuk menunjukkan kekuasaan mereka di negeri Selangor'.

"Sebenarnya, apa yang dituduhkan oleh Khir adalah bersifat spekulasi semata-mata dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,"demikian kata Lau dalam kenyataannya semalam.

Katanya, Selcat yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008 untuk menegakkan prinsip-prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Selangor.

Katanya, selama 50 tahun BN dan UMNO mentadbir Selangor, prinsip-prinsip yang penting ini semakin terhakis, khususnya semasa Selangor ditadbir di bawah Khir Toyo.

"Bagi memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan kerajaan Selangor, Dewan Negeri Selangor telah menubuhkan SELCAT yang ditugaskan khas untuk menegakkan prinsip-prinsip ini dalam pentadbiran kerajaan negeri melalui satu proses pemantauan yang belum pernah dilaksana di Selangor dan Malaysia tetapi sudah menjadi satu kebiasaan bagi sistem pentadbiran Demokrasi Berparlimen di negara-negara maju yang lain, khususnya negara-negara Komanwel, iaitu melalui pendengaran terbuka," katanya.

Lau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, daripada terus mengaut di dalam air keruh, adalah lebih baik untuk Khir menjelaskan bagaimana beliau sebagai Menteri Besar pada masa itu membenarkan perkara itu terus berlaku.

"Kalaulah beliau yang benar-benar ikhlas dalam mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan, maka saya menyeru kepada beliau agar tampil ke hadapan dan menjawab segala persoalan yang
timbul", katanya.-TVS

Thursday, September 24, 2009

Saturday, September 19, 2009

Perutusan Hari Raya Aidil Fitri 1430




Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga kita dapat mengisinya dengan agenda-agenda yang membawa kepada ketaqwaan yang sejati. Hari ini, kita telah menyempurnakan latihan Ramadhan selama sebulan, dan kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebagai satu tanda kesyukuran kita terhadap nikmat-nikmat Allah SWT. Saya berharap, latihan ubudiyah selama sebulann ini telah dapat memenuhi KPI berpuasa iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT.

Saya, bagi pihak PAS mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam sempena hari yang mulia ini. Saya berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada Hari Raya ini dan dapat pula kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan juga berwaspada dengan rumah yang ditinggalkan agar semuanya selamat dan sejahtera.

Apabila menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah SWT. Allah memerintahkan pada Hari Raya ini untuk ‘litukabbirallah’ (membesarkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatnya. Maka janganlah Hari Raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Janganlah ada pada Hari Raya perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan kita sepanjang Ramadhan itu untuk terus mekar sepanjang Hari Raya dan juga hari-hari berikutnya.

Amalan mengadakan rumah terbuka begitu bermakna sekali dalam kita membina semua kekuatan umat Islam terutama untuk mengukuhkan persaudaraan kita. Ziarah menziarahi dapat memulihkan semula nostalgia yang mencetuskan kemesraan dan meninggalkan perselisihan yang tidak berkesudahan. Namun begitu, suka saya mengingatkan supaya amalan rumah terbuka ini tidak disulam dengan perkara-perkara yang tidak baik. Janganlah acara rumah terbuka ini membawa kepada pembaziran, dipenuhi dengan aktiviti hiburan melampau, ada umpat-mengumpat dan dilaksanakan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Biarlah rumah terbuka ini berlangsung dalam suasana keagamaan, ajaklah bersama orang-orang miskin, ibu-ibu tunggal, orang-orang tua dan juga anak-anak yatim supaya mereka juga dapat bergembira bersama-sama.

Ketika kita sedang berseronok dengan Hari Raya ini, jangan kita lupa kepada anggota keselamatan yang terpaksa bertugas untuk menjamin keselamatan kita. Kepada pihak polis dan tentera saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih di atas pengorbanan mereka pada Hari Raya. Jasa dan sumbangan mereka janganlah dipinggirkan. Kerana itu, saya berharap pada Hari Raya ini, pihak kerajaan dapat memberikan kebebasan dan hak kepada anggota keselamatan yang berjasa ini untuk ‘memiliki suara’ secara yang adil di negara ini. Janganlah tenaga dan pengorbanan mereka kita kerahkan, tetapi kebebasan dan hak mereka kita bendung. Berilah mereka kebebasan untuk bersuara dengan menghapuskan undi pos dan biarkan mereka memilih secara bebas dan telus.

Akhirnya, saya berharap daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini dapat membangkitkan semula kesedaran dan kemahuan kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya. Pada Ramadhan tahun ini, Islam telah terhina dan tercemar dengan beberapa isu dan insiden seperti sekatan ke atas perlaksaan hukum sebat ke atas peminum arak, pergeseran dengan penganut agama Hindu kerana pembinaan kuil dan beberapa fitnah lain yang dilancarkan oleh Umno/BN yang berkepentingan politik. Sedangkan dalam masa yang sama kita menyambut Ramadhan dalam semangat kemerdekaan. Sebagai mana Ramadhaan telah memerdekakan umat Islam daripada penyembahan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, maka ia sepatutnya telah menyedarkan kita untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Setelah kita berpuasa kerana Allah selama sebulan, maka marilah kita berjihad kerana Allah untuk melaksanakan perintah-perintah Allah yang masih tertangguh akibat kedegilan ‘anak didik penjajah’. Sempena Aidil Fitri ini, marilah kita mendukung slogan AL-QURAN DIDAHULUKAN, SUNNAH DIUTAMAKAN!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin

DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS

Friday, September 18, 2009

Aidilfitri 1430 H




Salam,kepada semua yang melawat blog PAS Caw Sek.17,Alhamdulillah hari ini sudah 29 hari kita menjalani ibadah puasa dan sudah melengkapi 10 malam yang terakhir.Esok,tiba masanya kita menyambut Aidilfitri iaitu hari kemenangan bagi semua umat islam seluruh dunia.Semoga dengan segala amalan-amalan yang kita lakukan di bulan yang mulia ini akan mendapat ganjaran dan di terima oleh Allah S.W.T. InsyaAllah.

Dengan ingatan tulus ikhlas PAS Caw.Sek.17 mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN dan Berhati-hati ketika memandu pulang ke Kampung dan Selamat sampai ke destinasi yang di tuju..InsyaAllah..

Najib Perlu Letak Jawatan!




PERDANA Menteri, timbalannya dan semua menteri yang terlibat mesti meletakkan jawatan jika dokumen kerajaan yang didedahkan oleh Malaysia Today (MT) hari ini dalam artikelnya yang bertajuk "What the Cabinet hid from the Malaysian public"

adalah tulen, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Dokumen yang didedahkan itu menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00.

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) perlu membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah kepada rakyat bahawa dokumen itu adalah dokumen palsu. Jika beliau gagal berbuat demikian dan dokumen tersebut memang benar dokumen kerajaan yang tulen, beliau dan semua anggota kabinetnya kini yang terlibat dalam memberikan kelulusan retrospektif itu mesti meletakkan jawatan serta merta," tegas Mahfuz.

Jika dokumen itu adalah dokumen kerajaan yang tulen, beliau mempersoalkan bagaimana Najib dan anggota kabinet pada masa itu boleh mempersetujui kelulusan retrospektif itu sedangkan banyak peraturan kewangan telah dilanggar termasuk dalam apa yang didakwa sebagai tindakan Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan kepada beberapa penerbitan bon yang boleh dianggap tidak sah.

Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja.

Mahfuz juga menuntut kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri sahaja tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya?

Beliau juga mempersoalkan, mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut setelah dilaksanakan didapati tidak berdaya maju dan kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion.

"Jika dokumen yang didedahkan oleh MT itu adalah dokumen tulen kerajaan, rakyat kini boleh melihat dengan jelas mengapa Najib dan kabinetnya menubuhkan pasukan petugas khas serta-merta bagi menyediakan laporan berkaitan isu PKFZ.

"Saya telah nyatakan sebelum ini bahawa penubuhan pasukan itu sebenarnya bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ," kata beliau.

"Dan, sebab itulah juga Najib dan kerajaan pimpinannya begitu takut untuk menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu.

"Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan lagi jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sekali lagi menuntut sidang khas parlimen diadakan bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ.

"Jika kerajaan enggan mengadakan sidang parlimen khas itu, kita yakin sidang parlimen yang dijangka bermula 19 Oktober ini hingga 15 Disember akan 'dibanjirkan' dengan isu PKFZ hinggalah Perdana Menteri, timbalannya dan semua menteri dalam kabinetnya kini yang terlibat memberikan kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ itu meletakkan jawatan," kata beliau.

Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam PAS ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan suruhan jaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman dari kerajaan.

Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah dari KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi. KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ.

KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi. Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil. Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.-Sabahkini